Duit syiling Dolar_Selat

Duit syiling pertama yang dikeluarkan untuk Negeri-negeri Selat pada 1845 ialah jenis mata wang ¼, ½ and 1 sen yang diperbuat daripada tembaga. Duit itu yang dikeluarkan oleh Syarikat Hindia Timur tidak menunjukkan di mana wang itu akan digunakan. Bagaimanapun, jenis mata wang yang sama yang dikeluarkan buat kali kedua oleh kerajaan India British pada 1862 mempunyai inskripsi "India - Selat".

Pada 1871, duit syiling perak dikeluarkan atas nama Negeri-negeri Selat untuk jenis mata wang 5, 10, dan 20 sen, diikuti oleh duit syiling tembaga ¼, ½, and 1 pada 1872 dan duit syiling perak 50 sen pada 1886. Dolar perak juga ditempa buat pertama kali pada 1903.

Terbitan khas 3-halaman Warta Kerajaan Negeri-negeri Selat yang dikeluarkan di Singapura pada 24 Ogos 1904 mengandungi perisytiharan yang berikut oleh Gabenor ketika itu, Sir John Anderson:

Dari 31 Ogos 1904, Dolar British, Mexico dan Hong Kong tidak lagi akan merupakan wang sah dan akan digantikan dengan Dolar Negeri-negeri Selat yang baru diperkenalkan.

Tujuan tindakan itu adalah untuk mewujudkan suatu nilai pertukaran untuk Dolar Selat baharu yang berasingan daripada dolar-dolar perak yang lain yang diedarkan di kawasan Negeri-negeri Selat, khususnya dolar perdagangan British. Matlamatnya adalah bahawa apabila nilai pertukaran menyimpang dengan ketara daripada nilai dolar-dolar perak yang lain, pihak berkuasa akan menetapkan nilainya berdasarkan wang sterling pada nilai itu dan dengan itu, memasukkan Negeri-negeri Selat ke dalam piawai pertukaran emas. Penetapan itu akhirnya berlaku apabila Dolar Selat mencecah nilai wang sterling sebanyak dua syiling dan empat peni (2s 4d).

Dalam tempoh beberapa tahun, nilai perak naik dengan begitu pesat sehingga nilainya di dalam duit syiling dolar Selat melebihi nilai pertukaran emasnya. Untuk mencegah dolar-dolar itu dileburkan, dolar baharu yang lebih kecil dikeluarkan pada 1907 dengan kandungan peraknya dikurangkan. (Keadaan yang sama berlaku di Filipina pada waktu yang sama.) Duit syiliing ¼ sen yang terakhir dikeluarkan pada 1916. Dolar ditempa buat kali yang terakhir pada 1920, dengan pengeluaran 50 sen dihentikan pada 1921. Bagaimanapun, duit-duit syiling yang lain masih dikeluarkan sehingga 1935.